AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Staf Unisel pulih, kuarantin dua minggu di rumah

SHAH ALAM, 21 MAC: Seorang kakitangan Universiti Selangor (Unisel) yang dikesan positif Covid-19, baru-baru ini disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 19 Mac lalu.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata staf Pusat Islam kampus Bestari Jaya itu dikehendaki menjalani kuarantin tambahan 14 hari seperti ditetapkan pihak hospital.

“Beliau salah seorang peserta terawal perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu yang tampil membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah penularan Covid-19.

“Beliau didapati positif dan menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh seperti ditetapkan KKM,” katanya menambah ahli keluarga kakitangan terbabit negatif jangkitan.

Hasril berkata Unisel turut menutup operasi bermula 18 hingga 31 Mac selaras Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, staf dikehendaki bekerja dari rumah kecuali bagi operasi kritikal, manakala pelajar sedang bercuti dan semester baharu bermula 6 April ini.

“Kita mengambil langkah proaktif menutup beberapa lokasi dan premis bagi pembersihan dan nyahkuman, justeru semua kakitangan dan pelajar disaran mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengawal penularan Covid-19,” katanya.


Pengarang :