EXCOSELANGOR

Covid-19: Taska sementara bantu jaga anak barisan hadapan

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor dengan kerjasama Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) membuka taska sementara bagi menjaga anak-anak petugas barisan hadapan yang sibuk mengendalikan kes Covid-19, kata EXCO kebajikan dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata taska sementara disediakan di bangunan agensi petugas barisan hadapan bertugas seperti di hospital atau klinik.

“Kerajaan Negeri pada dasarnya sudah bersetuju membantu melancarkan operasi taska sementara ini dengan menyediakan peruntukan tambahan dan makanan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan pengusaha taska atau tadika berbincang bagaimana untuk sama-sama membantu operasi pusat asuhan agar dapat beroperasi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Ini kerana sudah pasti ada taska dan tadika terkesan kerana tidak menerima yuran dalam tempoh PKP sehingga mungkin perlu menutup operasinya.

“Perlu ada tolak ansur untuk manfaat bersama. Pada masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira bagaimana untuk membantu taska dan tadika mengurangkan kesan kerugiannya,” katanya.


Pengarang :