Kedutaan Besar Malaysia di Berlin Datin Sarah Albakri Devadason, (tengah, kiri) dan Pengurus Besar Pelancongan Selangor Azrul Shah Mohamad bersama wakil Tourism Selangor di Kedutaan Malaysia di Berlin pada 5 Mac 2020. Foto IDA NADIRAH IBRAHIM/SELANGOR JOURNAL
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19 tidak halang Tourism Selangor kukuh pelancongan negeri

OLEH IDA NADIRAH IBRAHIM

BERLIN, 18 MAC: Tourism Selangor terus giat mempromosi produk pelancongan tempatan hingga ke pentas antarabangsa, di sebalik krisis Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Memilih Berlin, Jerman sebagai lubuk promosi, Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata pasaran Eropah antara prospek terbesar memperluas sektor pelancongan melalui mekanisme bersesuaian.

“Mungkin ramai tidak bercadang untuk melancong dalam masa terdekat tetapi ada juga yang akan merancang perjalanan masa depan, justeru kempen promosi diteruskan seperti bertemu agensi pelancongan di Berlin termasuk penulis blog tempatan serta wakil media.

“Selain Program Hos Komuniti Selangor, terdapat beberapa produk pelancongan lain yang dapat menarik pengunjung dari Eropah termasuk Sky Mirror (di Kuala Selangor) dan Gamuda Cove (di Dengkil),” katanya kepada Selangor Journal ketika ditemu bual di Kedutaan Malaysia di Berlin pada 5 Mac lalu.

Tourism Selangor turut mengadakan perjumpaan bersama Kedutaan Besar Malaysia di Berlin Datin Sarah Albakri Devadason serta pegawai Tourism Malaysia di sana.

Lawatan promosi ke Berlin merupakan langkah alternatif selepas konvensyen antarabangsa Internationale Tourismus-Börse Berlin 2020 (ITB Berlin) yang disertai Tourism Selangor dibatalkan pada saat akhir susulan kebimbangan penularan Covid-19.

ITB Berlin, yang berlangsung setiap tahun disertai puluhan negara termasuk Jerman, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Afrika Selatan.

Sementara itu, Azrul turut yakin Selangor mampu menarik kemasukan pengunjung dengan mengetengahkan produk pelancongan perubatan dan sukan bertaraf dunia yang semakin mendapat perhatian.

“Selangor salah satu negeri yang menyediakan pelancongan perubatan terbaik. Industri ini berkembang pesat kerana kami mempunyai lebih 40 pusat perubatan bertaraf antarabangsa.

“Kita lihat ramai pelancong yang datang dari Indonesia dan negara Asean lain untuk rawatan dan pada masa sama mengambil peluang melawat kawasan berdekatan seperti ke pusat membeli-belah atau taman tema,” katanya lagi.

Terdahulu, Tourism Selangor melancarkan kempen “Selangor Up-Close 2020: European Edition Travelogue Competition; #SelangorThroughMyLens” dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Berlin.

Selangor menyasarkan lebih lapan juta ketibaan pelancong, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 secara keseluruhan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk pelancongan negeri boleh layari selangor.travel atau rujuk media sosial Tourism Selangor.


Pengarang :