Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan darurat di seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Trump isytihar darurat seluruh Amerika Syarikat

WASHINGTON 14 MAC: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan darurat di seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan penyebaran Covid-19, sekali gus membuka ruang untuk bantuan berskala besar di peringkat persekutuan.

Keadaan ini memaksa penutupan sekolah dan premis perniagaan, pelaksanaan langkah drastik oleh pihak kerajaan, penangguhan acara sukan global dan larangan lebih ketat ke atas setiap individu.

“Untuk membolehkan kerajaan persekutuan memperoleh kuasa penuh, saya dengan ini mengumumkan darurat nasional, dua perkataan yang membawa makna sangat besar,” kata Trump dalam ucapannya di Rumah Putih, lapor Reuters.

Langkah terbaharu itu dibuat dua hari selepas Trump mengumumkan larangan perjalanan dan menyekat semua pintu masuk ke AS ke atas sebahagian besar penduduk dari benua Eropah.

Walaupun setakat ini Britain dikecualikan dari larangan itu, beliau berkata keputusan berkenaan mungkin diubah selepas mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negara terbabit.

Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 46, setakat Jumaat selepas enam lagi kematian dilaporkan di Washington.


Pengarang :