Selangorkini
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Dari bilik berita ke singgahsana

ccsb-ads

“Assalamualaikum. Salam sehati sejiwa. Nasional 8 bersama saya Norashikin Abd Rahman.” Tepat jam 8 malam pada tanggal 31 Ogos 2016, berkumandang di televisyen suara lunak dan penuh kelembutan.

Ayat itu diungkap pada hari bersejarah negara dan hari paling bermakna buat penyampai pemberita berkenaan, namun penonton tidak sedar betapa istimewanya berita itu. Ia dibaca oleh Tengku Permaisuri Selangor!

Sebelum tampil buat kali terakhir di kaca televisyen malam itu, baginda diijabkabulkan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sebelah pagi.

Norashikin, yang datang ke masjid istana sebagai wartawan biasa, kemudian meninggalkan tempat pernikahan diraja sebagai permaisuri Selangor.

Kehidupan awal baginda sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan cukup indah dalam buku ‘My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’.

Mengenang kisah itu, Tengku Permaisuri Norashikin bersolek sendiri dan memandu ke Masjid Istana Diraja, Klang untuk majlis istimewa itu, malahan baginda sempat menghantar Sultan Sharafuddin ke Istana Mestika sebelum menyambung tugas di Angkasapuri.

Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa Tengku Permaisuri Selangor tidak bercuti pada hari itu? Namun, baginda mempunyai alasan tersendiri, yang jelas menunjukkan amanah dan tanggungjawab terhadap kerjayanya selama dua dekad.

Tengku Permaisuri Norashikin sebenarnya bimbang rahsia pagi itu terbongkar terutama dalam era media sosial kerana pemakluman pernikahan tersebut hanya dibuat beberapa hari kemudian. Namun, bahasa tubuh dan perbualannya pada malam itu berjaya menenggelamkan sebarang syak.

Seusai menyampaikan berita utama, baginda membaca pesanan WhatsApp daripada kakaknya: “Cincin berlian di jari itu sungguh menyilau mata kakak. Tolonglah sorokkan sikit.”

“Hahaha. Rahsia saya masih tersimpan kukuh,” jawab baginda.

Pada malam itu, baginda meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyampai berita selepas berkhidmat sejak 1996. Tengku Permaisuri Selangor pernah berkhidmat sebagai pramugari antara 1987 hingga 1994.

Baginda mahu meneruskan khidmat di RTM tetapi Dewan Diraja Selangor pastinya tidak dapat menunaikan hasrat tersebut. Dalam buku berkenaan, yang dilancarkan pada 16 Disember tahun lalu, beberapa foto eksklusif majlis pernikahan tersebut turut dimuatkan.

Cerita di balik tabir

Selain jalan cerita di sebalik tabir yang disampaikan dengan dekat dan lancar, foto-foto eksklusif dalam buku setebal 133 halaman ini pasti menjadi rakaman sejarah yang memikat perhatian pembaca.

Dalam karya karangan kakak baginda Datin Dr Norely Abd Rahman, Tengku Permaisuri Norashikin berkongsi cerita ditegur kerana tidak menutup aurat dengan sempurna di sebuah masjid ketika mahu menunaikan solat sunat Aidiladha.

Wanita itu menegur “Saya berharap tuanku dapat menutup aurat dengan sempurna apabila ke masjid sekali lagi”. Walau agak tersentak, baginda berharap wanita itu memahami keadaan yang berlaku sebelum ke masjid berkenaan.

Kemuliaan hati Tengku Permaisuri Selangor terserlah apabila sangat menghargai teguran dan mendoakan kesejahteraan wanita berkenaan serta berharap baginda dapat menjadi muslimah yang lebih baik.

Pengalaman pertama ketika mengiringi Sultan Sharafuddin ke acara rasmi yang berprestij di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur pada 17 September 2016 turut dikongsi Tengku Permaisuri Norashikin. Perasaan gementar, penampilan dan tingkah laku baginda turut digambarkan.

Sewaktu majlis tiga toast diadakan, baginda yang baru dua minggu bersama Tuanku Sultan tidak jelas bagaimana harus berdiri. “Beta tidak pasti patut berdiri pada kali pertama atau duduk sahaja, jadi beta hanya menunggu isyarat Tuanku,” buku itu dipetik.

Lawatan pertama Tengku Permaisuri Norashikin ke rumah penjagaan warga emas yang dikendalikan Lembaga Zakat Selangor dan mangsa banjir pasti menyentuh hati.

Tidak kekok

Sebelum berangkat pulang, seorang penghuni wanita berbisik dan mengatakan cucunya juga mempunyai nama “Norashikin”.

“Beta memeluknya lembut dan berkata ia adalah nama yang istimewa,” cerita baginda lagi, yang menyifatkannya penamat lawatan yang indah itu. “Beta pasti akan senantiasa mengingati makcik ini dan cucunya Norashikin.”

Baginda juga tidak kekok dan sedia turun padang apabila diundang oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat mangsa banjir di Klang pada malam 19 Oktober 2016.

Sifat keperibadian dan rendah diri baginda amat menenangkan dan boleh menjadi contoh tauladan kepada rakyat jelata, seperti diceritakan apabila Tengku Permaisuri Selangor tidak memparkir di kawasan VVIP selepas satu acara larian.

Selepas itu, baginda bersama keluarga menikmati nasi lemak yang terkenal di Kampung Baru, tempat baginda membesar.

Selain itu, pengalaman manis pada sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Selangor ke-71 apabila baginda harus berlatih beberapa kali untuk mengikut protokol yang tetapkan.

Langkah demi langkah diatur kerana baginda perlu mendahului senarai penerima darjah kebesaran tertinggi, Darjah Kerabat (D.K.) pada 11 Disember 2016. Selepas perkahwinan, baginda dianugerah pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.).

Rindu kebebasan

Tengku Permaisuri Norashikin digambarkan melalui buku ini sebagai seorang yang ringkas. Baginda yang sangat merendah diri serta tidak lokek dengan senyuman disifatkan penyeri hati rakyat Selangor.

Baginda membawa Tuanku menziarahi rumah ibu bapa baginda tanpa polis atau pengiring ketika sambutan Aidiladha.

Bab terakhir buku ini menggambarkan bagaimana baginda terkenang-kenangkan akan kebebasan sebagai rakyat biasa. Untuk bergelar insan istimewa, cerita baginda, ramai orang hanya boleh bermimpi tetapi baginda sedar bahawa kehidupan baharunya itu bukanlah pelangi yang sentiasa indah.

“Beta rindukan kebebasan seperti sebelum bergelar Permaisuri. Makin sukar untuk tidak dikenali waktu ke kedai dan membeli-belah. Hari-hari kebebasan berpakaian beta juga berakhir. Jika dahulu tiada siapa kisah apa yang disarungkan tetapi sekarang beta akan dinilai dengan teliti oleh orang awam dan cakap-cakap mereka, positif atau negatif, boleh tersebar meluas.”

Namun baginda lega apabila pendandan rambutnya ketika hari pernikahan masih tidak menyedari siapa baginda sebenar sehingga hari ini.

Baginda menjelaskan Tuanku berpesan supaya menjadi diri sendiri dan perlu terus seperti sekarang.

Dicetak 1,500 naskhah, ‘My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’ boleh diperolehi di Galeri Diraja Klang dengan harga RM160. Sebahagian hasil jualan disumbangkan kepada SPCA Selangor.


Pengarang :