AGENSISELANGOR

Digi kekal rakan telekomunikasi rasmi FAS

SHAH ALAM, 9 MAC: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus mengekalkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) sebagai rakan telekomunikasi rasmi skuad Gergasi Merah musim ini, kata setiausaha agungnya.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata jalinan kerjasama memasuki tahun kedua bersama rangkaian telekomunikasi terbesar Malaysia itu bagi mengukuhkan hubungan bersama peminat melalui peluang pemasaran dan penjenamaan di dalam stadium termasuk meletakkan logo korporat Digi di lengan kanan semua jersi Selangor.

Katanya, ia memberi ruang kepada syarikat berkaitan menawarkan lebih banyak faedah untuk pelanggan seperti pengalaman perlawanan rumah (home) eksklusif dan diskaun tiket boleh ditebus melalui MyDigi Rewards.

“Kita teruja kerana sekali lagi bekerjasama dengan Digi untuk memberi nilai tambah kepada penyokong setia. Sudah pasti ada program lebih bermanfaat kepada penyokong Gergasi Merah terutama mereka yang melanggan perkhidmatan Digi.

“Diharapkan ia membuka mata bagi syarikat korporat lain untuk sama-sama turun padang dan menyediakan perkhidmatan serta ganjaran lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee optimis sukan bola sepak mampu menyatukan rakyat berbilang bangsa seiring dengan matlamat untuk menghubungkan pelanggannya di satu medium yang relevan dengan mereka.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasukan yang inovatif dan tidak takut untuk mencuba cara baharu dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada peminat tegar Gergasi Merah,” katanya.


Pengarang :