ADNSELANGOR

DNS dipendekkan, sempat lulus usul penting

SHAH ALAM, 17 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) berjaya meluluskan usul penting berkaitan dasar Kerajaan Negeri walaupun persidangan yang baharu bermula semalam ditangguhkan tengah hari ini, kata speaker.

Ng Suee Lim berkata DNS yang sepatutnya berlangsung dua minggu dipendekkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok, berikutan penularan Covid-19.

“DNS sempat menyelesaikan semua urusan kerajaan dan meluluskan beberapa usul penting antaranya Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita juga meluluskan usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor,” katanya pada sidang media di lobi DNS di sini hari ini.

Suee Lim berkata semua Ahli Dewan Negeri turut memberi kerjasama dengan tidak mengambil bahagian membahas usul tersebut.

“DNS juga berjaya membentangkan penyata mengenai pembasmian kemiskinan, jawatankuasa pihak berkuasa tempatan mengenai sistem aduan dan beberapa perkara lain.

“Selain itu, usul supaya Kerajaan Negeri mempertahankan hutan simpan dan kawasan tadahan air di Selangor turut ditarik balik dan akan dibincangkan pada sesi akan datang,” katanya.


Pengarang :