BERITA UTAMASELANGOR

DNS: Perlu periksa kesihatan elak Covid-19

SHAH ALAM, 13 MAC: Semua tetamu yang hadir pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula Isnin ini diwajibkan melalui pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penularan Covid-19, kata speaker DNS.

Ng Suee Lim berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi memantau perkembangan itu dan individu tidak sihat dinasihatkan untuk tidak hadir.

“Saya minta orang ramai, pemerhati dan petugas media yang datang untuk bertugas, sekiranya mendapati diri anda tidak sihat termasuk demam atau batuk, elakkan hadir,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Suee Lim berkata istiadat pembukaan sidang DNS di bangunan Annex bermula 16 hingga 27 Mac bakal disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diteruskan seperti ditetapkan dan sebarang perubahan sama ada tempoh persidangan dipendekkan akan diputuskan kemudian.

Semalam Kerajaan Negeri menangguhkan penganjuran program berskala besar yang tidak bersifat kritikal susulan perkembangan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai pandemik (tersebar luas).


Pengarang :