Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan amanat kepada agensi agama di bawah JPM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Zulkifli: Covid-19 terkawal, tidak perlu henti solat Jumaat

PUTRAJAYA, 12 MAC: Situasi semasa penularan virus Covid-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

“Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

“Mereka yang ada simptom Covid-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada agensi agama di bawah JPM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Dr Zulkifli berkata solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan tetapi diganti dengan solat Zohor dalam keadaan wabak itu menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

“Ia juga tertakluk kepada wabak itu sudah menunjukkan kesannya di tempat tersebut dan ramai individu yang telah disahkan positif Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan telah menyemak dan memeriksa masjid atau surau Jumaat terlebih dahulu,” katanya.

Dr Zulkifli berkata bagi mengelak kekeliruan, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan mengenai hal itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata JPM menyediakan kertas kerja permasalahan berkaitan Covid-19 seperti solat Jumaat, bersalaman, kenduri kahwin dan urusan mandi jenazah.

“Insya-Allah kita akan kemukakan dalam masa terdekat kepada Majlis Fatwa untuk diputuskan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :