Dron yang berlegar di udara ketika tinjauan pola pergerakan orang ramai oleh Angkatan Tentera Malaysia dalam tugasan OP Penawar di sekitar ibu kota pada 28 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dron jadi `mata’ tentera pantau pergerakan orang ramai

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Penggunaan dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Penawar akan menjadi ‘mata’ kepada pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Beliau berkata dron ATM akan memantau pola pergerakan orang awam di pusat bandar serta di sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

“Penggunaan dron berkenaan mampu menjimatkan masa dan dapat memantau tempat-tempat yang tidak dapat dilalui oleh anggota ATM.

“Kami telah mengenal pasti titik panas dan kawasan zon merah wabak Covid-19 di mana dron akan digunakan untuk memantau pergerakan orang ramai,” katanya selepas meninjau pelaksanaan dron ATM dalam Op Penawar di sini malam tadi.

Sebanyak empat pasukan dron ATM dikerah kepada lapan unit dron yang akan ditempatkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti termasuk zon merah.

Pada 23 Mac lepas, ATM menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau PKP yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak Covid-19.

Dron akan digunakan di 12 kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi lokasi panas penularan Covid-19, antaranya Lembah Pantai dan Titiwangsa.

– BERNAMA


Pengarang :