Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua lagi korban Covid-19, jumlah kematian kini 19 kes

SHAH ALAM, 25 MAC: Dua lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata laporan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul mangsa korban meningkat kepada 19 kes setakat ini.

“Kes kematian ke-18 adalah pesakit ke-1,625, lelaki warga tempatan berumur 56 tahun dan mempunyai penyakit kronik. Mangsa dirawat  di Hospital Sultan Ismail, Johor meninggal dunia pada jam 2 pagi, 23 Mac.

“Kematian ke-19 pula membabitkann  pesakit ke-1,246, wanita tempatan berumur 68 tahun. Mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail,  Johor pada 19 Mac dan meninggal dunia jam 12.53 pagi, 25 Mac,” kata beliau.

Pagi tadi, Noor Hisham  mengumumkan kematian ke-17  berkaitan Covid-19  hari ini melibatkan warga Malaysia yang dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar  sejak 20 Mac.

Beliau berkata terdapat 172 kes baharu positif Covid-19 dikesan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada 1,796 kes.

Katanya, 71 kes dilaporkan berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling Kuala Lumpur pada hujung bulan lalu manakala baki 101 kes masih dalam siasatan.

“Sehingga kini, seramai 45 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Manakala katanya 16 kes sudah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih sebanyak 199 kes.


Pengarang :