ADNSELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar elaun pengangkutan RM100

SHAH ALAM, 25 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan bantuan elaun pengangkutan RM100 kepada pekerja barisan hadapan yang menggunakan pengangkutan awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negerinya, R Rajiv berkata inisiatif itu diberikan kepada penduduk di DUN berkenaan yang berkhidmat di hospital, polis dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya individu yang tidak menetap di Bukit Gasing tetapi bekerja di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Petaling Jaya, Balai Polis Petaling Jaya, Balai Polis Seapark serta Balai Polis Damansara juga boleh memohon bantuan itu.

“Mereka yang menggunakan pengangkutan awam dan bekerja dalam syif di mana pengangkutan awam tidak lagi beroperasi layak mendapat manfaat ini.

“Pemohon perlu menyertakan dokumen seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, dokumen atau apa-apa bukti mereka menggunakan perkhidmatan awam seterusnya emel kepada [email protected] / [email protected],” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Rajiv berkata beliau menyedari waktu operasi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dikurangkan dan pekerja barisan hadapan yang menggunakan perkhidmatan itu terjejas sepanjang tempoh PKP.

“Saya amat prihatin mengenai keadaan ini dan melancarkan inisiatif pemberian elaun pengangkutan RM100 untuk pekerja barisan hadapan dalam ‘perkhidmatan perlu’.

“Jika anda merupakan pekerja barisan hadapan dan berkelayakan yang kini harus menggunakan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab atau Teksi untuk ke tempat kerja boleh hubungi kami untuk permohonan,” katanya.


Pengarang :