Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang mengumpul 530 botol cecair pembasmi kuman sumbangan masyarakat untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan.
ADNSELANGOR

DUN Rawang kumpul cecair basmi kuman kepada petugas PKP

SHAH ALAM, 25 MAC: Hanya dua jam, Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang berjaya mengumpul 530 botol cecair pembasmi kuman pelbagai saiz sumbangan masyarakat untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Ahli Dewan Negerinya, Chua Wei Kiat berkata inisiatif itu digerakkan Isnin lalu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari bagi membantu anggota yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Petugas barisan hadapan berdepan keadaan kurang selamat dan mudah terdedah dengan jangkitan Covid-19, jadi kita perlu bergabung tenaga bersama masyarakat memandangkan ramai dalam kalangan mereka terpaksa membeli penutup muka serta cecair pembasmi kuman menggunakan duit sendiri.

“Saya buka sesi sumbangan dua jam untuk golongan dermawan membawa barangan keperluan itu. Sesi itu singkat bagi mengelak orang ramai berkumpul seterusnya mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan inisiatif sama secara berperingkat dengan melibatkan penyertaan lebih ramai penduduk setempat untuk tampil membantu.

“Masyarakat beri kerjasama sangat baik, bahkan ada ramai peniaga dan kilang turut berhasrat menyumbang, justeru kita akan sentiasa memantau perkembangan keperluan petugas barisan hadapan dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :