A Rahim Kasdi (empat dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada Hospital Selayang yang diwakili Pengarah Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, Dato’ Dr Mohamed Alwi Abd Rahman hari ini.
ADNSELANGOR

DUN Sungai Tua, MPS serah sumbangan kepada Hospital Selayang

SELAYANG: Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyumbangkan enam buah tandas bergerak dan tiga unit pendingin hawa mudah alih untuk kegunaan Hospital Selayang dalam berdepan penularan Covid-19.

Penyerahan dilakukan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, A Rahim Kasdi dan Pengarah Jabatan Sisa Pepejal MPS, Affendi Samingan kepada Pengarah Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, Dato’ Dr Mohamed Alwi Abd Rahman.

Ahli Majlis MPS, Amir Fazlee, berkata sumbangan itu adalah tanda keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua dan MPS terhadap pengorbanan kakitangan Kementerian Kesihatan berdepan keadaan kritikal ketika ini.
“Ia bagi memberi keselesaan kepada kakitangan hospital untuk bertugas selain orang ramai yang berkunjung bagi menjalani saringan, kita dalam perancangan mendirikan dua khemah di lokasi sama.

“Terima kasih kepada menteri besar dan Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang menyerahkan sumbangan itu,” katanya.

Turut diserahkan barangan makanan dan minuman dianggarkan bernilai RM2,000.


Pengarang :