Dato’ Seri Amirudin Shari melawat ke gerai pameran selepas Majlis Perasmian Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ekspo Hasil Suri Selangor bantu perkenal produk usahawan wanita

SHAH ALAM, 7 MAC: Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 (Hassel 2020) yang berlangsung di sini selama dua hari bermula hari ini sehingga esok merupakan satu platform bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita di negeri ini untuk memperkenalkan produk mereka bagi tujuan komersial.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Mariah Mahmud berkata ia merupakan langkah kerajaan negeri untuk memperkasakan golongan wanita di Selangor terutamanya mereka yang mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.

Hassel 2020 disertai kira-kira 50 usahawan IKS wanita yang terdiri daripada golongan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah (B40) seluruh Selangor.

“Di ekspo ini kita ada menjemput pemilik perniagaan ternama antaranya sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur untuk mereka melihat produk-produk antaranya berkaitan batik, kain dan produk kulit yang berpotensi untuk dipasarkan di premis perniagaan mereka.

“Setakat ini juga kita sudah mendapat persetujuan daripada sebuah hotel terkemuka di Selangor untuk mempamerkan produk-produk ini dan perbincangan sedang dijalankan dengan lima buah hotel yang lain agar produk ini turut dipamerkan di hotel-hotel mereka,” katanya kepada pemberita semasa majlis perasmian expo berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Mariah berkata, melihat kepada sambutan daripada usahawan dan semua pihak terlibat, pihaknya tidak menolak kemungkinan menjadikan ekspo berkenaan sebagai program tahunan di bawah Portfolio Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.

“Adalah diharapkan, penganjuran ekspo ini akan menjadi salah satu platform dan jalan untuk kita menuju matlamat yang telah digariskan di dalam Dasar Wanita Selangor,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu hanya mengatur program yang melibatkan pemberian semata-mata tetapi mahu mengubahnya kepada program yang bersifat pemberdayaan kepada golongan wanita di negeri ini agar mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata IKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, dengan kira-kira 99 peratus perniagaan di negara ini berada dalam kategori IKS.

“ Daripada jumlah tersebut, sekitar 20 peratus perniagaan dimiliki, dikendalikan atau dikelolakan oleh wanita, oleh itu, dengan meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ini, kita boleh membawa pertumbuhan yang ketara dalam ekonomi kita,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :