Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 21 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat kali beli makanan, antara alasan ingkar PKP

PUTRAJAYA, 29 MAC: Keluar membeli makanan tetapi sampai empat kali sehari adalah antara alasan tidak jujur yang diberikan rakyat Malaysia untuk keluar dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata alasan yang digunakan itu nyata tidak jujur dan berniat untuk menipu.

“Ada bagi alasan beli makanan, tapi sampai empat kali sehari, sampai polis pun kenal muka mereka ini, nyata ia bukan alasan yang jujur,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP di sini hari ini.

Beliau berkata, ada antara mereka yang diperiksa masih melepak di warung kopi dan lebih teruk melanggar sekatan PKP yang dijalankan.

PKP untuk membendung penularan Covid-19 masuk hari ke-11 semalam menyaksikan 649 individu ditahan, meningkat sekali ganda dari hari sebelumnya.

Dalam pada itu, katanya, masih terdapat premis perniagaan yang tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan penting dibuka ketika pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, ketika PKP dilaksanakan ini, hanya premis berkaitan bekalan makanan dan kesihatan dibenarkan beroperasi.

“Sebanyak 3,223 premis telah diperiksa dan sebahagiannya (bukan perkhidmatan penting) telah diarah tutup”, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :