Anggota bomba dan pelbagai agensi melakukan kerja-kerja pembersihan nyahkuman bagi membendung wabak Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat zon merah di Selangor catat kenaikan 58 kes Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Empat daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di Selangor mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak 58, sebahagian besarnya di Hulu Langat.

Mengikut angka di Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, empat zon merah berkenaan mencatatkan 611 kes dengan pecahan Hulu Langat (258 kes), Petaling (224), Klang (70) dan Gombak (59).

Kawasan Sungai Lui di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mac lalu susulan banyak kes di sebuah maahad tahfiz.

“Jika kawasan tertentu dalam zon merah ini menunjukkan peningkatan kes positif yang mendadak, PKPD akan dikenakan,” kenyataan ringkas KKM dipetik.

Sebanyak 49 kes direkodkan di Hulu Langat setakat angka yang dikeluarkan kementerian berkenaan tengah hari semalam.

Selain kawasan tersebut, kerajaan juga menguatkuasakan PKPD di Simpang Renggam, Johor mulai 27 Mac lalu dan Menara City One, Kuala Lumpur mulai tengah malam tadi.

Sehingga kini, zon merah di seluruh negara masih kekal 15 lokasi iaitu Lembah Pantai (226 kes), Seremban (118), Johor Bahru (108) dan Kluang (106).

Sementara itu, Kuching merekodkan 81 kes, Kota Bharu (79), Kinta (76), Kepong (75), Tawau (60), Titiwangsa (64) dan Hilir Perak (56).

KKM menetapkan sesuatu kawasan sebagai zon merah apabila mempunyai lebih 40 kes sementara zon jingga pula 20 hingga 40 kes. Tiada atau bawah 20 kes dianggap zon hijau.


Pengarang :