Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enam anggota polis positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan enam anggotanya positif Covid-19 dan 335 ahli keluarga, masih menunggu ujian saringan kesihatan.

Beliau berkata, perkara tersebut memperlihatkan risiko yang perlu ditanggung anggotanya, dalam menjalankan tugas ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Sehingga hari ini enam anggota saya positif Covid-19…kita terus beri galakkan dan semangat kepada anggota untuk bersemangat melaksanakan tugas,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Astro Awani hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keempat hari ini, menunjukkan orang ramai sudah mematuhi peraturan ditetapkan dengan mengehadkan pergerakan mereka.

Menurutnya, walaupun ada segelintir masyarakat yang masih menjalankan aktiviti di luar, pihaknya masih memberi nasihat sebelum tindakan tegas dilakukan.

“Kita terus tidak putus asa, masih lagi dalam tahap mahu menyedarkan, memujuk rayu, berbagai taktik dan teknik digunakan anggota, kepada masyarakat,” katanya.

Polis sebelum ini melancarkan Op Covid-19 pada 18 Mac lalu, dengan menjalankan ratusan sekatan jalan raya dan pemantauan, bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan, bagi mengatasi penyebaran wabak virus Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :