AGENSISELANGOR

Enam stesen empangan Selangor capai hampir 100 peratus

SHAH ALAM, 13 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) memaklumkan enam empangan air di Selangor berada pada tahap terbaik iaitu kapasiti hampir 100 peratus setakat jam 8 pagi tadi.

Menerusi laman sesawangnya, agensi berkenaan berkata Stesen Kolam Takungan Sungai Labu mencatat bacaan terbaik iaitu 99.62 peratus diikuti Stesen Tasik Subang (99.06 peratus), Stesen Sungai Tinggi (95.23 peratus), Stesen Semenyih (94.57 peratus), Stesen Sungai Selangor (92.44 peratus) dan Stesen Langat (90.70 peratus).

Manakala, paras takungan air di empangan Stesen Batu mencatat 89.07 peratus dan Stesen Klang Gates (87.15 peratus).

Sebelum itu, pejabat ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca kering terutama di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Perak selain Kelantan dan Terengganu.

Turut dinyatakan Malaysia kini pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.


Pengarang :