Petugas pelbagai agensi melakukan proses nyahkuman bagi membendung wabak Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Nyahkuman di tempat risiko, elak bazir sumber terhad

SHAH ALAM, 31 MAC: Proses nyahkuman secara rambang di jalan raya dan kawasan terbuka perlu dielakkan bagi mengawal pembaziran sumber terhad, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata proses tersebut lebih sesuai dilakukan jika sesuatu kawasan disahkan mempunyai kes positif jangkitan Covid-19.

“Sepatutnya kita fokus sumber yang terhad iaitu pengedaran topeng muka dan cecair pembasmi kuman untuk rakyat kerana masih ramai belum memiliki alat-alat ini. Jika perlu buat disinfeksi buatlah di tempat yang sah ada infeksi.

“Sama-sama kita menegur dan membantu di kala krisis ini dan ini bukanlah kenyataan politik,” tulisnya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa pakar perubatan menyifatkan tindakan nyahkuman di permukaan jalan tidak berkesan untuk menghapuskan Covid-19, malah ia hanyalah pembaziran sumber.

Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor Dr Christopher Lee melalui Twitter menyatakan proses nyahkuman di Petaling Jaya tidak akan mencapai tujuan mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

Sebaliknya, beliau berkata ia hanya membazirkan sumber dan masa kerja selain meminta tindakan dibuat berdasarkan bukti.


Pengarang :