EXCOSELANGOR

EXCO: Penjenamaan semula pusat tahanan haiwan PBT di Selangor

SUBANG JAYA, 2 MAC: Kerajaan Selangor bercadang menjenamakan semula pusat tahanan haiwan kepada Pusat Perlindungan dan Adopsi Haiwan-Haiwan Terbiar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata ia bertujuan mengubah persepsi orang awam terhadap pusat penyimpanan haiwan tangkapan sedia ada selain menggalakkan adopsi haiwan dalam kalangan masyarakat.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan, tetapi akan dilaksanakan bila-bila masa sahaja kerana kita melihat bahawa penggunaan nama itu sendiri memainkan peranan penting.

“Tanggapan masyarakat terhadap nama (sedia ada) sangat negatif. Nama yang digunakan itu bukan pusat tahanan tetapi sebenarnya pusat penjagaan kerana selepas (haiwan) ditangkap ia akan dijaga dengan baik oleh PBT,” katanya pada program Kawalan Haiwan PBT Selangor 2020 di Dewan Serbaguna MPSJ di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Ketua Penolong Pengarah, Seksyen PBT Kerajaan Negeri, Mohd Reizal Sumairi dan Konsultan Veterinar dari United Kingdom, Dr Brian Faulkner.

Program melibatkan penyertaan 12 PBT bertujuan mempelajari kaedah lebih baik dalam usaha menangani masalah anjing terbiar secara berhemah yang dikendalikan Dr Brian.

Lima topik diketengahkan sepanjang program berkenaan antaranya pemahaman tingkah laku anjing, pemahaman bahasa badan, keselamatan dan tangkapan strategik, zoonosis (penyakit menular dari haiwan ke manusia) dan pemilihan peralatan.


Pengarang :