Pengunjung pasar awam sekitar Petaling Jaya menjarakkan kedudukan satu meter ketika membeli barangan keperluan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19. Foto Facebook MBPJ
AGENDANASIONAL

Fama ambil alih jual barang basah, elak pasar awam sesak

SHAH ALAM, 31 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mewujudkan pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi di seluruh negara bagi mengatasi kesesakan di pasar awam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara dicadangkan ialah pasar tani terpilih (10 lokasi), pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi yang bersesuaian.

“Sukar untuk kawal kesesakan dan pematuhan jarak sosial di pasar basah pada waktu pagi dan kita dapati ia berlaku mungkin kerana kekurangan pilihan tempat membeli produk basah.

“Walaupun kita benarkan rakyat berbelanja dengan pelbagai pilihan di pasar basah tetapi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditentukan kerajaan mesti dipatuhi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menggalakkan orang ramai membeli barangan secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di pasar awam.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan kawalan tambahan operasi pasar borong dari jam 6 pagi hingga 4 petang, manakala pasar awam bermula 8 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :