Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex pada 2 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Akui kecewa Sukan Olimpik ditangguh tapi Farah Ann akur

SHAH ALAM, 29 MAC: Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 agak mengecewakan Farah Ann Abdul Hadi kerana temasya terbesar dunia itu adalah penampilan sulungnya selepas gagal pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Namun, ratu gimnastik negara akur dan mengakui penangguhan itu langkah terbaik demi keselamatan semua orang terutama ketika penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata ia adalah satu keputusan yang tepat kerana ini bermakna pihak pengurusan turut memikirkan keselamatan dan kesihatan atlet sentiasa terjaga.

“Saya memang agak kecewa kerana sepanjang tahun ini segala perancangan dan latihan lebih tertumpu kepada Sukan Olimpik.

“Bagaimanapun, saya tekad untuk bekerja lebih keras dan perhebatkan lagi persiapan untuk temasya sukan itu yang ditangguh ke tahun 2021,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas berkenaan latihan, Farah Ann berkata beliau banyak menghabiskan masa melakukan latihan ditetapkan jurulatihnya di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Memang tidak berpuas hati sebab latihan hanya di rumah dan pergerakan juga terbatas,” katanya yang berhasrat sertai Olimpik sejak usia lapan tahun.

Farah Ann meraih slot ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman dengan mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun atlet gimnas negara layak ke pentas Olimpik.

Temasya Sukan Olimpik 2020 dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos sebelum kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mencapai kata sepakat untuk menangguhkannya sehingga tahun depan berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.


Pengarang :