Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hamzah: Tindakan tegas sembunyi maklumat kluster Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menyembunyikan maklumat berkaitan kluster Covid-19 terutama dalam kalangan kluster tabligh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya mempunyai data berkaitan kluster yang dipercayai menyebabkan rantaian penularan wabak berkenaan berpanjangan.

“Saya memohon kalau mana-mana individu yang ada kontak dengan kluster untuk tampil membuat saringan. Kami tidak akan menahan mereka, kita cuma mahu mereka membuat saringan pemeriksaan Covid-19 sahaja.

“Ini adalah amaran pertama dan kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan lebih tegas selepas ini memandangkan kita telah masuk fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hamzah bagaimanapun enggan mengulas lanjut tindakan tegas yang bakal diambil.

“Covid-19 tidak mengenal bangsa, agama dan pangkat atau sesiapa sahaja yang bersangkut-paut. Oleh itu, kami meminta semua pihak memberi kerjasama kepada polis,” katanya.

Berikutan itu, Hamzah turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang berita palsu atau berkongsi maklumat tidak benar mengenai Covid-19.

“Jangan sampai perkara ini memecah belahkan perpaduan negara dan menimbulkan kegusaran awam sehingga mampu menimbulkan masalah lain. Sebaliknya setiap masyarakat harus memainkan peranan dalam memastikan kita dapat mengatasi masalah ini bersama,” katanya.

Hamzah turut berharap rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan bantuan semua pihak di fasa kedua PKP ini.

-BERNAMA


Pengarang :