Selangorkini
Haniza Mohamed Talha (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, pada 7 September 2019. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Haniza: Bayar sewa, dapat pulangan tunai 30 peratus

SHAH ALAM, 26 MAC: Peserta Skim Smart Sewa yang tetap membuat bayaran bulanan meskipun boleh ditangguh, layak menikmati pulangan tunai 30 peratus.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata manfaat tersebut akan diperolehi bagi tempoh tiga bulan bermula April.

“Kelonggaran diberikan kepada semua penyewa untuk menangguhkan bayaran bermula April sehingga Jun 2020, namun jika penyewa mahu menjelaskannya seperti biasa iaitu sebelum atau pada 7 hari bulan, ia dibolehkan.

“Penyewa akan mendapat 30 peratus pemulangan balik daripada sewa bersih,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.

Ia antara tujuh inisiatif yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Covid-19 kepada golongan yang terkesan.

 


Pengarang :