AGENDAGLOBAL

Harga minyak dunia menjunam 30 peratus

MOSCOW, 9 MAC: Harga minyak mentah dunia menurun lebih 30 peratus pada Isnin, susulan kegagalan pengeluar minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai kesepakatan mengenai pemotongan pengeluaran minyak yang lebih besar, lapor agensi berita Sputnik.

Sehingga 04:41 GMT, harga minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei turun 28.69 peratus – kepada US$32.28 setong. Nilai niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada April pula berkurangan 31.35 peratus kepada US$28.33 setong.

OPEC yang diketuai Arab Saudi telah mengadakan perjanjian mengenai pengurangan pengeluaran sejak 2016 dengan negara sekutu yang bukan merupakan negara anggota, diketuai Rusia.

Pada Jumaat OPEC dan pakatan pengeluarnya, dipanggil OPEC+, mengadakan mesyuarat di Vienna untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat, OPEC+ bersetuju untuk menstabilkan pasaran minyak, tanpa menyentuh mengenai pemotongan pengeluaran.

-BERNAMA


Pengarang :