AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Henti Covid-19: MB seru sertai Rakyat Selangor Berdoa malam ini

SHAH ALAM, 30 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru masyarakat beragama Islam di negeri ini untuk bersama menyertai Rakyat Selangor Berdoa, malam ini.

Beliau berharap usaha itu dapat melindungi dan memberi kekuatan kepada rakyat untuk melawan penularan Covid-19 yang semakin serius ketika ini.

“Marilah bersama-sama kita menadah tangan dan bermunajat kepada Allah SWT semoga Malaysia dan sekalian rakyat dilindungi serta diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang getir ini. #SelangorGempurCovid19,” tulisnya melalui hantaran di Twitter.

Rakyat Selangor Berdoa dianjurkan bermula malam ini dan 2 April depan dengan umat Islam berzikir memuji dan membesarkan Allah SWT di rumah masing-masing bermula 8.50 malam.

Imam surau, musollah dan masjid akan mengalunkan bacaan zikir melalui alat pembesar suara (tanpa jemaah) dan seterusnya membaca doa.

Penganjurannya dibuat melalui perbincangan bersama Jabatan Mufti Selangor serta Majlis Agama Islam Selangor dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bacaan zikir dan doa boleh ditonton secara langsung di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.


Pengarang :