Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Imam sebak baca doa, mohon hilangkan sengsara Covid-19

SHAH ALAM, 30 MAC: Imam Besar Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya sebak membaca doa ketika siaran langsung Rakyat Selangor Berdoa, malam ini.

“Sesungguhnya kami berlindung dengan Mu daripada wabak Covid-19, segala penyakit, keburukan tingkah laku dan malapetaka.

“Ya Allah, hilangkanlah segala kesengsaraan kami, sembuhkanlah segala penyakit yang menimpa negara kami,” kata Muhammad Farhan menerusi doanya.

Program itu bermula kira-kira 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi YouTube TVSelangor.

Turut sama ialah empat lagi imam masjid negeri yang turut sama-sama berzikir dan kemudiannya disudahi dengan bacaan doa.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata penganjuran itu akan berlangsung sekali lagi pada 2 April (Khamis) depan.

Imam masjid dan surau akan memperdengarkan zikir munajat melalui alat pembesar suara diikuti bacaan doa disediakan Jabatan Mufti Selangor.

“Ahli kariah dan umat Islam yang tidak dapat mendengar zikir serta doa dari masjid atau surau boleh mengikutinya melalui siaran langsung menerusi Facebook Masjid Negeri Selangor dan Bukit Jelutong.

“Kita berharap doa itu akan diamalkan selepas itu sebagai usaha untuk memohon daripada Allah untuk mengangkat wabak Covid-19,” katanya.


Pengarang :