Petugas kesihatan di barisan hadapan. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Individu tidak isytihar kontak rapat dengan positif Covid-19 boleh didenda

PUTRAJAYA, 21 MAC: Individu yang tidak mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai kontak rapat dengan orang yang positif Covid-19 kepada petugas barisan hadapan kesihatan boleh dihukum dan didenda.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengisytiharkan bahawa sudah terdedah kepada individu yang positif Covid-19.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bentuk hukuman dan jumlah denda yang boleh dikenakan terhadap individu yang enggan mendedahkan sejarah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Pada masa ini ramai petugas kesihatan di barisan hadapan terutamanya doktor dan jururawat yang dijangkiti Covid-19.

“Kerajaan tidak mahu keadaan hospital tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana doktor dan jururawat dijangkiti,” katanya.

Fadillah berkata mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik tidak kira sama ada premis awam atau swasta perlu mendedahkan kontak rapat masing-masing dengan individu yang positif Covid-19.

“Jika tidak mereka yang menjalani saringan Covid-19 mendedahkan kalangan barisan hadapan untuk dijangkiti wabak itu,” katanya.

Mengenai pergerakan orang ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, Fadillah berkata, hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar rumah sekiranya terdapat keperluan untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.

“Mereka yang terpaksa keluar dari kediaman lebih dari seorang untuk urusan penting perlu memberi penjelasan kepada pihak polis sekiranya ditahan.

“Secara dasar, hanya seorang dibenarkan (keluar dari rumah). Jika berlaku kematian (saudara-mara), ini kena diterangkan kepada pihak polis,” katanya.

Fadillah berkata mereka yang keluar dari rumah perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Keluar bila perlu, cuci tangan, jaga jarak sosial satu meter bagi menjaga keselamatan diri, keluarga dan semua orang daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :