Anggota polis memeriksa surat pengesahan bertugas penunggang motosikal semasa sekatan jalanraya di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 pada 26 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Ingkar PKP, lelaki dipenjara empat bulan

KAJANG, 27 MAC: Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dan cuba meloloskan diri, dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Jalan Hulu Langat di sini membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Syahrul Sazli Md Sain menjatuhkan hukuman itu, terhadap Ahmad Fauzan Jais, 31, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu, melanggar sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis dan menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dalam kawasan jangkitan Covid-19, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak tersebut dikuatkuasakan.

Bagi kesalahan melanggar sekatan jalan raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan, manakala hukuman penjara sebulan bagi kesalahan menunggang motosikal tanpa tujuan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, menjalani kedua-dua hukuman penjara secara berasingan, bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lalu.

Lelaki itu yang bekerja sendiri didakwa tidak memberhentikan motosikalnya ketika diminta Kpl Haslanni Sabtu dalam satu sekatan jalan raya Ops Covid-19, di Jalan Hulu Langat-Ampang pada 10 pagi, 24 Mac lalu dan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 12 bulan atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan, yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di tempat dan masa sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah, menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi, ketika negara sedang mengadapi masa krisis.

“Hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia, bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19, yang semakin serius,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang datang dari arah Bukit Ampang, enggan memberhentikan motosikalnya sewaktu diarahkan pihak polis ketika melalui satu sekatan jalan raya Ops Covid-19, malah dia telah memecut laju dan berlaku kejar-mengejar antara tertuduh dan pihak polis, sebelum lelaki itu terbabas dan berjaya ditangkap.

– BERNAMA


Pengarang :