BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Insentif khas Kerajaan Negeri beri sokongan moral buat penjaja

SHAH ALAM, 23 MAC: Pemberian insentif khas Kerajaan Negeri kepada penjaja mampu memberi sokongan moral dalam mengharungi cabaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata bantuan RM500 disediakan tentunya dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas rezeki akibat wabak Covid-19.

“Tidak dinafikan kawalan pergerakan ini secara langsung memberi impak terhadap kesan ekonomi, dalam konteks penjaja dan peniaga kecil yang bergantung kepada sumber pendapatan harian.

“Namun pelaksanaan perintah itu perlu dipatuhi bagi mengelak penularan Covid-19 bertambah serius, oleh itu mengikut kemampuan Kerajaan Negeri, kita bersama membantu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 dengan salah satunya adalah pengecualian sewa kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban.

Turut disediakan adalah pemberian khas RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing. Permohonan akan dibuka pada 1 hingga 30 April ini dengan pengagihan dilaksanakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

Keseluruhan inisiatif itu membabitkan kos RM52 juta.


Pengarang :