Jackie Wong Siew Cheer. Foto Facebook Jackie Wong Siew Cheer
AGENDASUKANKINI

Jackie atlet negara pertama positif Covid-19

SHAH ALAM, 16 MAC: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer positif Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata atlet berusia 28 tahun dipercayai dijangkiti virus berkenaan daripada ayahnya yang juga positif Covid-19.

“Atlet tersebut telah pulang ke Sarawak pada 11 Mac 2020 dan dikuarantin di Hospital Sibu.

“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet, saya mengarahkan fasiliti Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang dikunjungi atlet tersebut ditutup sementara untuk proses pembasmian serta sanitasi sepenuhnya.

“Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reezal Merican turut mengarahkan atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat dengan pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina tahun lalu itu diasingkan dan menjalani kuarantin di asrama.

“Dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat serta arahan Kementerian Kesihatan, mereka juga perlu menjalani ujian saringan,” katanya.

Selain memenangi perak di Sukan SEA, Jackie juga pemegang rekod kebangsaan dengan jarak balingan 68.22 meter.

Tahun lalu, atlet kelahiran Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali iaitu dua kali ketika beraksi di Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Terbuka Korea Selatan dan Kejuaraan Olahraga Asia.


Pengarang :