Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Jadilah warganegara bertanggungjawab, bersama perangi Covid-19

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Daripada bersesak-sesak di pasar raya, rakan saya, Eirdyna sanggup masak apa sahaja ramuan yang ada di rumah, meskipun banyak bekalan barangan dapur termasuk bahan mentah semakin menyusut.

Penjawat awam berusia 37 tahun ini percaya bekalan makanan di pasaran adalah mencukupi seperti mana jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di samping tidak mahu terjebak melakukan pembelian panik, rakan saya juga tidak mahu mendedahkan dirinya kepada risiko dijangkiti penyakit Covid-19 kerana berada di tempat yang sesak.

“Saya memang suka masak, jadi barang dapur adalah sikit, telur, rempah-ratus, santan kotak masih ada, bolehlah bertahan sementara waktu.

“Masaklah apa yang ada daripada berlaga bahu dan tangan. Saya ada baca keadaan sesak macam itu tinggi risiko untuk jangkitan virus penyakit Covid-19,” katanya sambil berbalas-balas mesej WhatsApp dengan saya.

Bagi rakan saya yang masih bujang ini, biarpun pasar raya adalah antara premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac ini, namun penting bagi setiap individu mengelakkan berada di tempat yang sesak yang memerlukan langkah penjarakan sosial atau yang disebut sebagai social distancing.

Orang ramai melakukan pembelian panik di Pasaraya Hero di Putrajaya susulan tular berita palsu bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. Foto BERNAMA

Eirdyna mengamalkan pendekatan menjarakkan diri satu meter daripada orang lain sekiranya terpaksa juga meninggalkan rumah.

“PM dah beritahu awal-awal elak tempat yang dikerumuni orang ramai sebab jangkitan ini boleh merebak melalui sentuhan. Kita ada pilihan dan ada masa untuk mencari mana-mana kedai atau pasar raya yang tidak sesak, lagi pun ini bukanlah perintah berkurung,” katanya lagi.

PKP yang berkuat kuasa selama 14 hari itu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Memanglah benar apa yang rakan saya ini katakan. Rabu lepas (18 Mac) iaitu hari pertama PKP dikuatkuasakan, saya sengaja membuat tinjauan di sebuah pasar raya terkenal sekitar Ulu Kelang yang sehari sebelum itu penuh sesak, akibat pembelian panik.

Saya kemudian meninjau pula sebuah kedai runcit yang berdekatan dengan rumah saya. Saya dapati stok barangan runcit seperti sardin, bawang merah dan pelbagai lagi keperluan makanan begitu banyak di atas rak.

Jadi, apa masalahnya? Mengapa orang sanggup merisikokan diri mereka dengan berpusu-pusu membeli barangan pada hari sebelum perintah itu berkuat kuasa, sehingga ke hari ini, sedangkan bekalan makanan sebenarnya banyak?

Bukankah, tindakan tersebut sebenarnya berpotensi untuk meningkatkan lagi jumlah kes penularan Covid-19? PKP ini bukanlah perintah berkurung di mana langsung tidak boleh keluar seperti apa yang berlaku di Itali dan beberapa buah negara lain.

Seperti kata Perdana Menteri, sepanjang perintah PKP, orang ramai masih boleh ke pasar awam dan kedai makan yang dibuka untuk mendapatkan keperluan harian. Mereka hanya perlu mengamalkan penjagaan kesihatan rapi dan mengelak bersentuhan dengan menjarakkan diri daripada orang lain.

Jadi, tidak perlulah membahayakan diri untuk berada di kawasan yang dikerumuni orang ramai dan mencetuskan pembelian panik biarpun pasar raya merupakan premis yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh perintah tersebut.

Warga kota juga nampaknya tidak faham dengan arahan PKP ini sehingga ramai yang berpusu-pusu ke stesen bas dan lebuh raya juga dilaporkan sesak kerana ramai yang ingat mereka boleh ambil kesempatan untuk balik kampung.

Keadaan ini sekali gus membimbangkan Perdana Menteri memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara ketika ini sehinggakan terpaksa membuat rayuan kali kedua dalam perutusan khas menerusi siaran langsung ke seluruh negara pada 18 Mac lepas.

“Just stay at home. Duduklah diam-diam di rumah”, adalah antara dua ayat yang banyak kali disebut Perdana Menteri dalam peruntusan khas Covid-19 kali kedua itu. Bahasanya mudah, tidak menggunakan bahasa tinggi untuk memahami maksud jelas Perdana Menteri.

Ada sebab mengapa beliau berasa bimbang. Ini memandangkan perkembangan status terkini wabak tersebut tidak menggembirakan di mana ketika perutusan itu dibuat, berlaku dua kematian selain sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ((Khamis, 19 Mac), menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes.

Keadaan ini semestinya menakutkan dan sewajarnya setiap daripada kita perlu ada perasaan bimbang. Saya menyangkakan peruntusan khas beliau yang menggunakan bahasa sangat mudah itu dengan rayuannya, boleh menyedarkan masyarakat.

Namun sangkaan saya silap. Masih ada lagi segelintir yang tidak kisah berada di tempat ramai orang untuk membeli barangan keperluan harian mereka. Sengaja saya meninjau (daripada dalam kereta) keadaan sebuah pasar raya yang beroperasi 24 jam, sekitar pukul 10 malam selepas dua jam perutusan tersebut ke udara.

“Kak, ramai ke orang di dalam?” tanya saya kepada seorang wanita yang sedang menyusun barang pembeliannya di dalam kereta memandangkan saya tidak berani untuk memasuki pasar raya berkenaan.

Dia yang membeli pelbagai jenis barangan dapur berkata pasar raya itu dipenuhi dengan ramai orang tetapi tidak nampak pula adanya pembelian panik. Ketika saya cuba memandu keluar dari kawasan tersebut, saya dapati beberapa kelibat orang baharu sampai sekali gus pastinya menambahkan lagi kesesakan di pasar raya berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik pada Rabu, 18 Mac, tahap pematuhan rakyat pada perintah itu adalah sekitar 60 peratus.

“Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya… kemungkinan tentera… kemungkinan akan digunakan.”

Kerajaan membuat keputusan tepat dengan mengarahkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad lepas (22 Mac) membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan rakyat mematuhi PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan. Kerajaan dan warga Kementerian Kesihatan tidak dapat menangani penularan Covid-19 sekiranya masih ada yang masih berdegil bersikap pentingkan diri atau mempunyai mentaliti ‘tidak kisah’.

Kasihanilah warga pasukan kesihatan kita yang bertungkus-lumus bekerja demi merawat mereka yang dijangkiti Covid-19. Di saat orang ramai berlindung di rumah, mereka dengan pakaian keselamatan khas, mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Sedikit pun tidak mengeluh walhal risiko mereka dijangkiti termasuklah membawa pulang jangkitan pada ahli keluarga adalah tinggi.

Untuk itu, setiap individu perlu memainkan peranan menjaga keselamatan diri masing-masing.

Kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah, seperti mana kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sudah tentu kita tidak mahu ia berlaku bukan?

– BERNAMA


Pengarang :