Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais tidak cadang buat akad nikah guna sidang video

SHAH ALAM, 26 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan melaksanakan upacara akad nikah melalui sidang video susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor, alternatif itu hanya boleh dijadikan sebagai panduan hukum.

“Arahan penangguhan segala urusan permohonan dan majlis akad nikah oleh Jais mengikut apa sahaja kaedah pelaksanaan dikekalkan sehingga berakhir PKP,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil keputusan wajar dari semasa ke semasa dalam keadaan yang memerlukan perhatian dan pertimbangan agensi terbabit.

“Jais sangat memahami situasi ini dan berharap semua pihak dapat bekerjasama mematuhi PKP yang sedang berkuat kuasa. Marilah kita bersama-sama terus berdoa supaya ancaman Covid-19 tidak berpanjangan,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, Jais mengambil keputusan menangguhkan segala urusan pernikahan selepas beberapa jurunikah disyaki dijangkiti Covid-19 ketika melaksanakan upacara tersebut.


Pengarang :