Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) dan Datuk Dr Anhar Opir (dua, kiri) serta Dr Nazirul Akhmal Samsuddin (tiga, kiri) bersama petugas khas pada Program Taklimat Pengurusan Jenazah Covid-19 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri Shah Alam pada 26 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais tubuh pasukan khas urus jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 26 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan pasukan khas pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan masyarakat mengekang penularan wabak berkenaan.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata pasukan terdiri daripada 35 pengurus jenazah termasuk empat wanita berikutan trend jangkitan yang bertambah, yang memungkinkan berlakunya kematian di rumah yang dikhuatiri mempunyai simptom wabak tersebut.

Beliau berkata walaupun KKM masih mampu menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di hospital, tugas pasukan khas berpengalaman akan diselaraskan Jais dengan kerjasama polis sekiranya ada menerima laporan kes kematian di rumah.

“Sekiranya ada berlaku kematian di rumah, pasukan khas ini akan mengumpulkan maklumat kerana dikhuatiri jenazah ada membawa simptom wabak Covid-19 semasa hayatnya.

“Kami tidak mahu ada jenazah di rumah yang mempunyai simptom wabak dikendalikan dengan cara yang salah kerana ia boleh mewujudkan pula jangkitan kluster baharu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, 35 ahli pasukan khas yang dipilih dari seluruh negeri ini diberi taklimat kira-kira tiga jam mengenai tatacara dan hukum yang betul menguruskan jenazah mangsa Covid-19 oleh wakil KKM Dr Nazirul Akhmal Samsuddin dan Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

Bagi memastikan keselamatan pasukan khas tersebut, Mohd Shahzihan berkata Jais memperuntukkan RM20,000 bagi membeli peralatan perubatan yang perlu digunakan dalam menguruskan jenazah mangsa Covid-19 dan ia akan diperoleh dalam masa terdekat.

-BERNAMA


Pengarang :