Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah kes harian Covid-19 di Selangor turun, MB pesan terus patuh PKP

SHAH ALAM, 27 MAC: Jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 di Selangor menurun agak ketara hari ini berbanding semalam yang merekodkan sebanyak 75 kes.

Walau kes baharu hanya 36 namun seorang lagi meninggal dunia, menjadikan tiga kematian di negeri ini, menurut angka Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar menggesa orang ramai terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

“… kita harus sentiasa mematuhi arahan PKP serta memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa. Insya-Allah kita pasti berjaya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter malam ini.

Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan 546 kes, angka tertinggi di Malaysia, diikuti Kuala Lumpur (337), Johor (259), Sabah (182), Perak (159) dan Negeri Sembilan (138).

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan jumlah kematian meningkat
kepada 26 orang dengan 130 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 2,161 kes.

Seramai 54 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), sementara 259
pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.


Pengarang :