Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kakitangan Maybank positif Covid-19, kerja pembersihan telah dijalankan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Maybank memberi jaminan tiada gangguan kepada mana-mana perkhidmatannya di Menara Maybank, Jalan Tun Perak, di sini kerana pihak bank telah mengambil semua langkah perlu selepas seorang pekerjanya positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, bank itu memaklumkan bahawa pekerja tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Pekerja berkenaan menjalani kuarantin di rumah sejak 1 Mac, pada hari yang sama bank dimaklumkan bahawa ahli keluarga pekerja tersebut diuji untuk virus itu dan kemudiannya disahkan positif.

“Langkah-langkah kuarantin di rumah berkenaan mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan bank berhubung Covid-19,” menurut bank itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Maybank telah melaksanakan kerja pembersihan menyeluruh di tingkat terjejas di bangunan itu dan kemudahan umum lain, mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan.

Pengesanan kontak terperinci juga telah dijalankan untuk mengenal pasti serta memaklumkan mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan pekerja tersebut, dan mereka telah menjalani kuarantin di rumah selain pemeriksaan perubatan.

Jurucakap Maybank berkata selain daripada membersihkan pejabat secara rutin, semua pekerja yang berdepan pelanggan telah diberikan peralatan perlindungan diri.

Cecair pembasmi kuman bagi tangan disediakan untuk kegunaan kakitangan dan pemeriksaan suhu badan juga dilakukan setiap hari dalam usaha memastikan kesejahteraan kakitangan dan pelanggan bank.

“Kami akan terus melaksanakan langkah-langkah sewajarnya selagi diperlukan kerana keselamatan para pelanggan dan kakitangan menjadi keutamaan kami,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :