AGENSISELANGOR

KDEBWM edar 997 cecair pembasmi kuman kepada subkontraktor

SHAH ALAM, 20 MAC: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengedarkan 997 botol cecair pembasmi kuman kepada subkontraktor bagi kegunaan petugasnya dalam mencegah jangkitan Covid-19, kata pengarah urusannya.

Ramli Mohd Tahir berkata inisiatif itu diambil kerana sektor pembersihan antara perkhidmatan penting negara selaras perkara keenam daripada perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung wabak itu pada Isnin lalu.

“Operasi harian KDEBWM dalam pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor akan berjalan seperti biasa mengikut jadual kutipan.

“Pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori kompaktor atau Roll On Roll Of (RORO), kru kutipan serta penyelia hendaklah sentiasa memakai alat perlindungan diri (PPE) juga menggunakannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggalakkan warga kerja membawa makanan sendiri sebagai langkah mengurangkan kontak dengan orang awam dan tidak terlalu lama di luar serta menumpukan perjalanan dari lokasi rumah ke tempat kerja dan pejabat kerajaan berkaitan dengan operasi kerja sahaja.

“Bagi mereka yang lain boleh membuat tugasan dari rumah dan tidak meneruskan temu janji atau mesyuarat dengan pihak luar di ibu pejabat sehingga keadaan wabak stabil.

“KDEBWM menitikberatkan keselamatan dan kesihatan pekerja, justeru mereka dinasihatkan menjaga kebersihan, membuat kawalan dari jangkitan seterusnya mematuhi arahan pihak berwajib supaya wabak ini dapat dibendung,” katanya.


Pengarang :