AGENSISELANGOR

KDEBWM: Jangan halang laluan, pastikan letak kenderaan teratur

SHAH ALAM, 23 MAC: Penduduk digesa meletakkan kenderaan lebih teratur supaya tidak menghalang laluan lori KDEB Waste Management (KDEBWM) membuat kutipan sampah domestik dan pukal.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata laluan perlu diberikan terutama di jalan masuk ke taman perumahan.

“Kenderaan di kawasan terbabit lebih banyak daripada biasa memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan penduduk bekerja dari rumah,” katanya.

Mahfuzah berkata kutipan sampah domestik berjalan seperti biasa memandangkan KDEBWM tersenarai sebagai perkhidmatan penting (essential services).

“Kami memerlukan kerjasama orang awam supaya dapat memudahkan pekerja membuat pembersihan dengan kadar segera,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata operasi harian pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor berjalan mengikut jadual kutipan.

Bagaimanapun pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori kompaktor atau Roll On Roll Of (RORO), kru kutipan serta penyelia perlu sentiasa memakai alat perlindungan diri.


Pengarang :