AGENSISELANGOR

KDEBWM rancang luas operasi luar Selangor

SHAH ALAM, 17 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat meluaskan operasinya di luar Selangor bagi memastikan kelestarian perniagaan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu melihat bidang pengurusan sisa pepejal mempunyai potensi besar dan sedang mengkaji peluang berkaitan.

“Bagaimanapun sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Lau Weng San (DAP) yang meminta penjelasan Kerajaan Negeri berhubung operasi KDEBWM di luar Selangor.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bermula Januari lalu.


Pengarang :