AGENDAEKONOMI

KDNK sebenar Malaysia diunjur -3.5 peratus tahun ini – Affin Hwang Capital

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjurkan pada -3.5 peratus tahun ini, menurut Affin Hwang Capital.

Menurut bank pelaburan itu, pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia dijangka dalam lingkungan negatif bagi suku pertama dan kedua 2020 walaupun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan.

Ini berikutan permintaan domestik mengalami penguncupan mendadak manakala eksport pula lemah ekoran ketidakpastian akibat wabak Covid-19.

“Agregat sebenar permintaan domestik dijangka susut kepada 4.0 peratus bagi 2020 secara keseluruhan, berbanding 4.3 peratus pada 2019,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berdasarkan kesan negatif ke atas permintaan domestik serta gangguan rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan dan luaran Malaysia, Affin Hwang menetapkan semula unjuran pertumbuhan KDNK sebenar kepada -3.5 peratus bagi 2020, daripada jangkaan awal pada 3.3 peratus.

“Bagi permintaan domestik, dalam jangka pendek, kami yakin pertumbuhan penggunaan swasta susut ketara, terutama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April, 2020.

“Penguatkuasaan PKP, contoh kesannya adalah pembelian alat-alat elektronik terkini oleh pengguna domestik (seperti telefon pintar dan tablet) serta semua barangan isi rumah lain, barang elektrik dan pengguna, mungkin lebih rendah dan terjejas,” menurutnya.

AffinHwang berkata bagi jangka pendek hingga sederhana, pertumbuhan penggunaan swasta tidak menjadi normal memandangkan isi rumah dijangka terjejas ekoran kemungkinan kejutan sementara ke atas pendapatan mereka dan turunnya kuasa beli.

Bank pelaburan itu berkata isi rumah juga dijangka mengambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan disebabkan situasi pekerjaan tidak menentu serta terkesan dengan pertumbuhan lemah pendapatan boleh guna sebenar yang dijangkakan.

“Pendapatan mereka yang berada di kawasan luar bandar, dan terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti perladangan, mungkin terjejas jika penurunan harga harga komoditi berterusan, oleh itu sumbangan mereka kepada perbelanjaan pengguna juga turut lebih rendah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :