Dato’ Seri Amirudin Shari ditemu bual media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Sekolah Rendah Agama Selayang Baru Kali Ke-16 pada 7 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kerajaan Negeri serius bangun sektor pendidikan Islam

SHAH ALAM, 7 MAC: Peruntukan hampir 20 peratus Belanjawan Selangor 2020 untuk membangunkan sektor pendidikan Islam membuktikan keazaman Kerajaan Negeri, dari peringkat rendah hingga ke menara gading, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga EXCO hal ehwal agama Islam dan pendidikan menegaskan sektor berkenaan tidak pernah diabai, sebaliknya jaringan program pembangunan Islam sentiasa kukuh dan berkembang subur.

“Malah, di Selangor sahaja kita ada 300 sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sama ada institusi, badan swasta atau persendirian dan diikuti hampir 20,000 pelajar pelbagai peringkat usia,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Rendah Agama Selayang Baru di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa meneliti formula baharu untuk mengisi keperluan terutama kepada pelajar supaya mendapat konteks pendidikan seimbang yang bukan hanya tertumpu kepada ukhrawi sebaliknya juga duniawi.

“Justeru, kita akan sentiasa berusaha untuk tambah nilai kegiatan bermanfaat dalam memastikan pelajar dapat perhatian dan didikan sempurna,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2020, RM237.89 juta diperuntukkan bagi program pendidikan Islam membabitkan RM199.82 juta bagi pembayaran gaji guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta kakitangan kontrak dalam sektor pendidikan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor.

Manakala RM1.9 juta untuk program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia Huffaz dan RM37.18 juta (pembangunan institusi maahad tahfiz).


Pengarang :