Pengguna mengenakan topeng muka ketika membeli barang keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Tesco Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan setuju turun harga topeng muka

PUTRAJAYA, 23 MAC: Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga penutup mulut dan hidung pada satu harga baharu yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pihak industri bagi tujuan itu.

“Harga topeng RM2 (sekeping) terlalu mahal, maka Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan hari ini bersetuju harga perlu diturunkan.

“Jadi saya jangka dalam waktu terdekat…KPDNHEP perlu segerakan agar kita boleh buat pengumuman dan yang penting mesti di bawah RM2,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata stesen minyak di seluruh negara diwajibkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan pemandu yang mengisi minyak.

“Terdapat kerisauan yang pam minyak diguna secara bergilir-gilir, maka dengan adanya cecair pembasmi kuman, pemandu boleh menggunakannya kemudian mencuci tangan mereka dahulu sebelum pam dan selepas pam minyak boleh cuci tangan lagi sebelum teruskan perjalanan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :