Salah seorang kakitangan perubatan Klinik Kesihatan Tanglin memeriksa suhu badan pelawat bagi mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tambah makmal, lebih 37,000 sudah saring Covid-19

SHAH ALAM, 30 MAC: Sejumlah 37,674 individu sudah melalui ujian saringan bagi mengesan Covid-19 di negara ini sehingga semalam, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengikut data di Facebook KKM hari ini, hasil saringan berkenaan 26,991 didapati negatif manakala 2,470 positif dan 8,213 masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter memaklumkan 10 makmal termasuk makmal bergerak ditambah bagi mempercepatkan hasil ujian dan membolehkan lebih ramai individu disaring.

Setakat semalam jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 35 mangsa manakala kes sembuh seramai 388 orang.

Sementara itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui sehingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan bermula 12 tengah malam itu diambil susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.


Pengarang :