AGENSISELANGOR

Kerana Covid-19, Yawas tangguh semua acara IPR

SHAH ALAM, 16 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menangguhkan semua acara bagi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sepanjang Mac dan April ini susulan Covid-19, kata pengurus besarnya.

Gan Pei Nei berkata keputusan itu selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menggesa perhimpunan membabitkan orang ramai ditangguhkan bagi mengawal penularan wabak.

“Yawas dengan ini memutuskan semua acara majlis bagi program insentif IPR seperti Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas, kursus kekeluargaan Insentif Generasi Muda Selangor dan Riang Ria Dunia Membaca ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Kita memandang serius perkara ini dan sedang mengambil langkah perlu bagi memastikan pemberian bantuan bagi program berkaitan masih terus dijalankan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Mac lalu, kerajaan mengarahkan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan sehingga 30 April depan.

Langkah sama turut diambil Kerajaan Negeri yang membatalkan program berskala besar antaranya Karnival Tanah Selangor dan Karnival Kerjaya Jobvaganza 2020 @ DUN Bukit Melawati susulan gelombang kedua penularan Covid-19.


Pengarang :