Antara premis perniagaan yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Kajang pada 18 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerja dari rumah: Pekerja pilih Skype, WhatsApp untuk berhubung

SHAH ALAM, 18 MAC: Kakitangan swasta yang bekerja dari rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan memilih aplikasi Skype dan WhatsApp untuk berhubung, khususnya membabitkan perbincangan ramai.

Jurutera kilang Syafiqah Zainurin, 26, berkata operasi syarikat berjalan seperti biasa, namun semua kakitangan perlu memberi dan menerima arahan serta makluman tugas melalui Skype.

“Semua bertugas di rumah seperti biasa dan mesyuarat diadakan tiga kali pada 10 pagi, 2 dan 4 petang. Kerja sebelah pagi lebih tertumpu kepada persediaan mesyuarat dan jika ada perkara penting sahaja baru diarahkan ke pejabat,” katanya yang bekerja di bahagian pemprosesan.

Juruteknik kilang Shahril Nizam Mohd, 44, berkata syarikatnya mengarahkan semua kakitangan berada dalam keadaan bersedia di rumah dan bertindak mengikut arahan melalui WhatsApp.

Katanya, operasi syarikat yang membabitkan eksport lensa dan kanta ke luar negara bergantung kepada kapal sebagai medium penghantaran.

“Buat masa ini hanya bahagian dokumentasi dan eksport sahaja perlu bekerja dari 7 pagi hingga 11 malam kerana pelabuhan masih beroperasi.

“Arahan tersebut berkuat kuasa untuk minggu pertama dahulu dan perkembangan lanjut bergantung kepada operasi kapal,” katanya.


Pengarang :