Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai situasi terkini jangkitan Covid-19 pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerjasama hospital awam-swasta rawat pesakit bukan Covid-19

SHAH ALAM, 23 MAC: Bekas menteri kesihatan mencadangkan kolaborasi membabitkan fasiliti pusat perubatan swasta dan awam, bagi merawat pesakit bukan dijangkiti Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata melalui cara itu, hospital kerajaan dapat meningkatkan garis kapasiti mereka merawat penyakit yang lebih memerlukan perhatian.

“Tiba masa gerakkan kolaborasi (hospital) awam dan swasta serta seluruh masyarakat dengan melibatkan fasiliti swasta (contoh KPJ) membantu fasiliti awam (contoh Hospital Sungai Buloh).

“Mereka (hospital swasta) boleh ambil pesakit bukan Covid-19 atau pesakit dari unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU (untuk dirawat),” katanya melalui hantaran di Twitter.

Beliau yang juga ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor berkata setiap negeri perlu menentukan langkah bagi menangani pandemik yang semakin meningkat.

“Setakat ini tiada strategi menggunakan kaedah standard yang sama (one size fits all) untuk daerah atau negeri. Ia mesti dinilai menggunakan data klinikal dan kapasiti bagi menurunkan keluk epidemik,” tulisnya lagi.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 309 kes Covid-19, sekali gus tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Kuala Lumpur mempunyai 183 kes, Sabah (158), Johor (145), Negeri Sembilan (78), Sarawak (76), Perak (66), Kelantan (63) dan Pulau Pinang (58).


Pengarang :