AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketua polis negara kecewa masih ada pegawai terima rasuah

PASIR MAS, 11 MAC: Ketua polis negara kecewa terhadap 12 pegawai polis yang disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan sehingga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata masih ada pegawainya yang mengamalkan budaya tersebut walaupun pelbagai amaran dan nasihat diberikan sebelum ini.

Walaupun belum menerima laporan lengkap berhubung penahanan tersebut, namun beliau mengalu-alukan tindakan agensi antirasuah menjalankan tugas mereka.

“Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan lebih menyedihkan ahli keluarga terpaksa menanggung kesan akibat perbuatan itu.

Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA

“Yang mengambil (rasuah) adalah suami, kalau mereka tidak fikir nasib keluarga, maka teruskanlah, namun bila tertangkap tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat diberi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada 264 pegawai dan anggota polis yang berkhidmat ketika zaman darurat di Dewan Ketua Polis negara, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Abdul Hamid berkata SPRM akan melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya kertas pendakwaan gagal mengemukakan bukti cukup, pegawai dan anggota terlibat akan dikenakan tindakan disiplin oleh Polis Diraja Malaysia.

“Saya masih tidak berputus asa dan menerusi Jabatan Pengurusan akan terus berusaha memberikan kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelak daripada pengambilan rasuah,” katanya.

Semalam, seramai 12 pegawai polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang ditahan SPRM kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan.

Sebelas ditahan di sekitar Pulau Pinang, manakala seorang lagi di Kuala Lumpur dalam satu operasi khas SPRM antara 10 pagi hingga 6 petang.

-BERNAMA


Pengarang :