Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA

Kilang cemar Sungai Selangor diheret ke mahkamah

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri bertegas untuk membawa pemilik kilang yang mencemarkan Sungai Selangor ke mahkamah, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata kertas siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pihak berkenaan ekoran pencemaran air sehingga tiga loji rawatan air (LRA) ditutup semalam.

“Kilang berkenaan juga disita dan dikompaun Majlis Daerah Kuala Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Loy Sian berkata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Luas terus memantau sepanjang sungai termasuk di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berulang.

Semalam Air Selangor memaklumkan tiga LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas pada 9.40 pagi apabila mengesan pencemaran minyak pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun, selepas tindakan pantas beberapa agensi terlibat, tiga LRA berkenaan berfungsi semula pada 11.55 pagi.


Pengarang :