Anggota polis, tentera dan Rela menutup jalan utama ke kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: 300 ujian Covid-19 setiap hari di Kampung Sungai Lui

SHAH ALAM, 30 MAC: Sejumlah 300 ujian saringan Covid-19 dibuat setiap hari terhadap penduduk Kampung Sungai Lui sekali gus bakal membabitkan lebih 3,000 penduduk dalam Daerah Hulu Langat berkenaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan ujian terbabit selesai dalam tempoh 10 hari.

“Ia diuji di lima kampung termasuk dua kampung Orang Asli,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata berkemungkinan kluster terbesar jemaah tabligh ada kaitan dengan jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.

“Kita lihat, dalam tempoh sebulan, jemaah tabligh ini menyebarkan virus berkenaan dan kemungkinan ada penduduk Kampung Sungai Lui yang sudah positif.

“Setelah KKM masuk ke kampung berkenaan dua hari lalu, kes positif Covid-19 pelajar tahfiz meningkat kepada 91 kes,” katanya.

Semalam Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah berkuatkuasa mulai 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah.


Pengarang :